Exco Kesihatan Negeri Perak Goyang Kaki?

Exco Kesihatan Negeri Perak Goyang Kaki?

UNIT KAWALAN RAPI DI PERAK PADA TAHAP KEMAMPUAN 120%, MELEBIHI 1, 005 PESAKIT SEBULAN – EXCO KESIHATAN NEGERI PERAK GOYANG KAKI?

Kemampuan Negeri Perak untuk melawan COVID-19, terutamanya dalam menyelamatkan pesakit kritikal, sudah melangkaui titik pecah dan kini di luar kawalan.

Dalam sebulan yang lepas, Unit Kawalan Rapi (ICU) COVID-19 Negeri Perak telah beroperasi melepasi kemampuan maksimum. Pada kemuncak pengoperasiannya, para pesakit yang memerlukan penjagaan rapi telah melebihi bilangan katil-katil di unit tersebut pada kadar 39%. Hal ini bermakna, bagi setiap 14 pesakit ICU, 4 orang telah dinafikan perkhidmatan itu, ataupun terpaksa dimasukkan ke hospital tanpa sebarang katil ICU.

Menurut data yang diperolehi daripada domain awam, setakat 12 Ogos, katil-katil ICU telah mencecah tahap kemampuan 120% – satu pencapaian yang paling teruk pada masa itu. Ditambah dengan kadar jangkitan yang meninggi di samping kadar positif mencecah 1, 000 kes sehari, situasi ini semakin membimbangkan di mana Jabatan Kesihatan Negeri kurang mendapat sokongan yang mereka perlukan untuk memenuhi permintaan katil-katil ICU.

Sekiranya kadar positif ini berlanjutan pada kadar semasa, permintaan katil-katil ICU akan menjadi semakin membimbangkan daripada apa yang kita lihat sekarang. Di persimpangan kritikal ini, di manakah batang hidung Exco Kerajaan Negeri dalam membantu menanganinya?

Kebimbangan ini baru sahaja pencuci mulut jika nak dibandingkan dengan ketegangan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Kompleks Sukan Perak, kadar vaksinasi suam-suam kuku yang ketandusan idea bagi pendekatan yang lebih kreatif serta lebih agresif, dan ketiadaan semangat untuk menggerakkan ‘TIAP-TIAP SATU INSTITUSI KERAJAAN’ dalam vaksinasi.

Apa yang Exco Kesihatan Negeri Perak telah buat (atau sedang buat) dalam mempercepat perkembangan CAC dalam memenuhi permintaan yang memuncak? Berapa banyak pusat vaksinasi (statik atau bergerak) yang Exco Kesihatan Negeri Perak telah usahakan bersama dengan ADUN-ADUN, kerajaan atau pembangkang?  Apa yang Exco ini telah buat untuk membantu inisiatif PIKAS yang sampai sekarang tersadai di tanah dek kerana birokrasi dan campur tangan Kerajaan Negeri? Berapa banyak PPV yang dia telah lawat dan bantu ‘troubleshooting’? Ada pernah dia duduk di meja untuk bantu selesaikan masalah sistem, perisian dan isu-isu teknikal MySejahtera, MyVas dan JKJAV? Berjela-jela kalau saya tak berhenti senaraikan semua kepincangan ini.

Kakitangan barisan hadapan penjagaan kesihatan di Perak sedang mencurahkan tenaga dan keringat mereka sehabis baik yang mungkin, dan mereka kini benar-benar di pinggir titik pecah. Setiap satu entiti di dalam Penjagaan Kesihatan di negeri ini sedang lakukan semua yang terdaya untuk bertarung di dalam perang tak berpenghujung ini. Tapi, manusia yang diberikan mandat untuk mewakili Kerajaan Negeri dalam hal-hal ini, hilang entah ke mana, langsung tak tinggalkan jejak.

Tanggungjawab kerajaan, terutamanya Exco Kesihatan Kerajaan Negeri, adalah untuk meletakkan peruntukan dan menyediakan sumber-sumber penting supaya sistem Kesihatan boleh terus bergerak pantas. Sudah terang lagi bersuluh, berdasarkan data-data pada bulan lepas, bukan sahaja dia lepas tangan goyang kaki, dia juga membuktikan dengan cemerlang bahawa dia memang tidak cekap dan tidak berdaya untuk menguruskan tugasan-tugasan penting ini.

Perkhidmatan penjagaan kesihatan di Perak berhak menerima perhatian yang lebih baik, berhak menerima sokongan dan sumber yang lebih daripada Kerajaan Negeri dalam apa jua cara pun. Jikalau GAGAL, ramai lagi yang akan terkorban, dan Exco ini perlu dipertanggungjawabkan atas setiap darah dan payah yang menetes ke setiap jari jemarinya.

Exco Kerajaan Negeri Perak yang mengemudi hal ehwal kesihatan ini perlu ke depan sekarang, atau beralih ke tepi…atau perlu dihalau saja. Kita tiada ruang dan masa untuk ketidakcekapan sebegini.

Facebook Comments