Persidangan Istimewa (khas) Atau Lawan Di Jalanan – Yang Mana Mampu Tamatkan Politik Amfibia

Persidangan Istimewa (khas) Atau Lawan Di Jalanan – Yang Mana Mampu Tamatkan Politik Amfibia

Dicetak semalam dalam Bahasa Inggeris

 

Sebagai seseorang yang mengalami dan mengamati secara dekat lagi erat terhadap jatuhnya dua buah Kerajaan Negeri dek kerana pembelotan, satu sebagai ketua jentera dan satunya lagi sebagai ahli Exco, saya layak untuk meluahkan pandangan terhadap isu di atas.

‘Melompat’, sepertimana perlakuan seekor katak, melompat daripada tanah terus ke selut dan lumpur, adalah salah satu sifat jelas si pembelot politik. Kebolehan untuk menyamar dengan mengubah warna dan membenamkan diri daripada pandangan umum, dengan darah sejuknya, serta kebarangkalian tinggi perangai kanibalistik dalam sesetengah spesis, dan sifat beracun untuk disentuh kulitnya – adalah ciri-ciri lain pembelot politik yang jelas dikongsi bersama katak dan salamander, daripada kelas amfibia.

Jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, Negeri Perak sebenarnya lebih lama dan lebih rakus dibelenggu sumpahan amfibianisme ini. Kami rakyat yang bernaung di sini telah lama merana dek kerana si pelompat-pelompat ini. Dalam tahun 2009 dan 2020 – politik amfibia ini meruntuhkan keseluruhan kerajaan – sekali gus membawa rentetan krisis perlembagaan, kegawatan politik, ketidakstabilan ekonomi dan sosial, dan hilang keyakinan yang menebal terhadap demokrasi, yang sehingga kini masih belum pulih sepenuhnya.

Kita perlu tamatkan wabak politik ini buat selama-lamanya, dan tidak ada apa-apa lagi penyelesaian lain, kecuali mengangkat undang-undang anti-lompat parti. Kami, barisan pembangkang telah melakukan yang terbaik – sehingga ke tahap merisikokan kredibiliti dan maruah kami dengan membuat perjanjian dengan kerajaan di saat mereka begitu lemah dan terdedah – dan dalam usaha memperjuangkan akta anti-lompat parti sebagai timbal balas ke atas mereka. Begitu jua pun, ia mungkin sahaja menjadi sesuatu yang sia-sia.
______

Keengganan, ketidakupayaan, ketidaksediaan, ataupun sekadar ketidakcekapan kerajaan dalam membawa undang-undang anti-lompat parti ke parlimen, adalah tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Perbalahan yang perlu diberi pertimbangan adalah:

1) Sama ada membolehkan atau tidak pindaan Perlembagaan Persekutuan dibuat, khususnya Artikel 10, perlu diberikan laluan yang sama di dalam persidangan khas ini dek kerana Undang-Undang Anti Lompat Parti ini sendiri merupakan undang-undang yang berbeza.

2) Bentuk dan isi kandungan pindaan Perlembaan itu sendiri:

a) Artikel 10: Adakah sekatan kebebasan berpersatuan ini akan ditadbir oleh Perlembaan sendiri atau;
b) artikel 10: Dengan undang-undang berbeza yang boleh diluluskan hanya dengan majoriti mudah
c) Tambahan definasi lompat parti di dalam Artikel 49 sudah mencukupi dan memadai;

3) Sekiranya memerlukan kepada Akta yang baharu, adakah ia memberikan kerajaan kuasa penuh bagi mengukuhkan kedudukannya secara kuku besi.

Akhirnya, soalan yang perlu ditanya: adakah perlu ditangguhkan nasib pembentangan undang-undang anti-lompat yang berasingan ini, sedangkan penyelesaian kepada masalah lompat parti ini boleh saja dicapai dengan pindaan kepada 2 perkara (perkara 10 dan 49), pada sidang yang akan datang ini?

Adakah wujud sebarang kemungkinan niat jahat dalam usaha mahu memisahkan pindaan perlembagaan, dengan memudahkan laluan mencapai majoriti mudah dalam memberi definisi apa itu ‘lompat parti’?

Sebagai seorang ahli Dewan Undangan Negeri, saya sendiri tidak punya kedudukan untuk menyatakan pendirian-pendirian yang lebih bermakna dan berasas; cuma sekadar pendapat seorang pemerhati yang juga menjadi mangsa kepada politik amfibia di mana luka-luka ini mungkin sudah sembuh namun parut-parutnya amat bermakna dalam memberi peringatan supaya bertindak dengan pantas dan kemas.

Saya juga sentiasa menyedari terhadap implikasi politikal ke atas parti saya dan gabungan saya sekiranya pindaan perlembagaan ini gagal diberikan laluan – sama ada disebabkan penangguhan ataupun kekalahan di medan pengundian, berbalik kepada perbalahan-perbalahan di atas.

Saya hanya boleh berharap supaya kepimpinan baharu parti, serta kepimpinan Pakatan Harapan dapat mencurahkan kebijaksanaan dan diberikan rezeki serta nasib yang baik atas perjuangan ini. Hanya ini sahaja yang mereka perlukan sekarang dalam menghadapi jam-jam terakhir sebelum persidangan istimewa (khas) ini.

Jadikan ia istimewa, hanya untuk asbab yang benar dan tepat.
_______

Sejujurnya, parti dengan sejarah yang gah dalam arena politik Malaysia, UMNO juga melihat diri mereka sebagai mangsa kepada politik amfibia ini. Walaupun ada niat dan motivasi di sebaliknya, Perdana Menteri sekarang nampaknya tidak berupaya ataupun tiada kemahuan untuk agenda reformasi ini, biarpun ada sokongan yang kuat daripada pihak pembangkang.

Adakah ia kerana dia rasa bahawa partinya kini kembali berkuasa sehinggakan dia enggan membawa agenda reformasi ini yang kelihatan sebagai agenda pihak pembangkang? Atau, adakah ia kerana dia sendiri sebaliknya mahu menggunakan metod lompat parti dengan mana-mana puak yang dapat memberi pulangan yang lebih, dengan cara menangguhkan penggubalan undang-undang lompat parti itu sendiri?

Apa-apa pun jawapan hanya akan menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia berasa marah dan jelik terhadap demokrasi dan keyakinannya.

Sehingga kini, kita tahu bahawa semakin ramai majoriti rakyat Malaysia hilang minat terhadap politik, semakin berkuasalah parti-parti yang kemaruk kuasa seperti BN dan PN.

Apa-apa pun alasannya, apa yang dipertaruhkan bukanlah sekadar tentang siapa yang berkuasa di atas sana. Ia tentang kemahuan dan suara rakyat yang bakal menentukan hala tuju bangsa, pada hari ini dan masa mendatang. Ia tentang asas demokrasi kita.

Jika hasil persidangan istimewa ini nanti menemui titik buntu – mungkin kita perlu kembali semula ke saat-saat sejarah itu – sepertimana dahulu setiap satu rakyat Malaysia yang bangkit menuntut pilihanraya yang bebas dan adil – di mana kita sekarang ini perlu juga turun ke jalanan untuk menuntut demokrasi yang bebas dan adil, yang BEBAS daripada politik amfibia ini.

 

Facebook Comments