Ilmu Perang China untuk Hancurkan DAP

Ilmu Perang China untuk Hancurkan DAP

Ilmu Perang China untuk Hancurkan DAP

 

Sewaktu berada dalam kerajaan, saya sebagai bekas Exco Kerajaan Negeri Perak telah saksikan dengan mata kepala saya sendiri kehebatan berpolitik para politikus bermanhaj UMNO yang mana ini termasuk ramai daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Mereka inilah yang banyak menjerit tentang Islam dan Melayu tetapi di belakang tabir, ilmu politik mereka diambil daripada kitab kuno China.

 

Kitab tersebut, “36 Strategi” merupakan sebuah koleksi ulasan tentang perihal ketenteraan dan peperangan dengan memetik babad-babad era Negeri-Negeri Yang Berperang sekitar 475 SM-221 SM serta zaman Tiga Kerajaan sekitar 220-280 Masihi.

 

Walaupun UMNO dan Bersatu dilihat kononnya bertelagah, amalan politik mereka tidak berbeza. Matlamat menghalalkan cara. Malah, kitab kuno China boleh diputarbelitkan demi mencapai cita-cita kegilaan kuasa mereka.

 

Untuk membuktikan kerakusan mereka dengan kuasa dan kedudukan, izinkan saya memetik bab pertama kitab ini yang berjudul “Strategi Memenangi Perang” bagi mendedahkan sikap, amalan dan konspirasi mereka.

 

Strategi 1 

瞒- sembunyi maklumat

天- (seluruh bumi dibawah) langit

过- menyeberangi

海- laut

Menyeberang laut dengan penyembunyian niat daripada langit. 

 

Bagi tujuan melemahkan pertahanan musuh, anda bertindak secara tersembunyi dan rahsia (untuk menipu manusia mahupun tuhan) sambil hidup seperti biasa.

 

Sebuah rombongan lawatan ke Amerika Syarikat pada September 2019 yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin dan diiringi Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal  Azumu merupakan tempat lahirnya Langkah Sheraton. Sedikit sebanyak petanda telah terbocor apabila Ahmad Faizal atau lebih dikenali dengan nama kampungnya Peja terlepas cakap sewaktu berkempen di Tanjung Piai menyatakan “…macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini…”

 

Semenjak insiden itu, memang banyak kerja-kerja yang sedang berjalan lancar sebelum itu tiba-tiba menghadapi pelbagai rintangan dan halangan. Apabila para pemimpin parti dan para EXCO sendiri hendak mendapatkan temu janji untuk berjumpa dengan Menteri Besar, memang susah betul: lebih susah daripada berjumpa dengan tokoh korporat dan pemimpin NGO. Kami dah tahu memang ada sesuatu yang mula tampak tak kena. Akan tetapi, segalanya ditampilkan dengan begitu indah dan tenang seolah-olah TIADA yang tak kena atau berbeza.

 

Selepas Peja tunduk cium tangan Tengku Adnan Mansor, Bendahari Agung UMNO di Hotel Sheraton, dengan muka welfare keesokan harinya Peja mengkhabarkan dia terpaksa lari ikut tangga dan pintu belakang di pertengahan majlis selepas menyedari ada yang tak kena. Kononnya dia hadir pun atas sebab ada arahan parti tetapi tanpa butiran acara. 

 

Empat hari berturut-turut seminggu sebelum Muhyiddin mengumumkan beliau dapat majoriti, saya berkomunikasi dengan Peja menerusi telefon. Dia masih kekal dengan cerita yang sama, ‘Bro, aku tak akan sokong depa, aku risau orang kau orang (DAP) yang lompat saja. Kau kena make sure they don’t.” Begitu hebat sekali lakonannya.

 

Sampailah sebelah pagi sebelum sidang media pengumuman majoriti Muhyiddin, sewaktu kami semua di Yayasan al Bukhary sedang sibuk mengumpulkan akuan bersumpah (SD) untuk membuktikan sebaliknya. Pada saat itupun, Peja memberitahu Syed Sadiq, Mukhriz dan saya (antara yang lain) yang dia ‘on the way’. Kita ingatkan dia on the way kat kita, rupa-rupanya dia on the way ke rumah Muhyiddin untuk menangis teresak-esak sebelah bakal perdana menteri pada masa itu.

 

Strategi 2 

围- kepung

魏- Negeri Wei

救-selamatkan

赵- negeri Zhao

Kepung Wei untuk menyelamatkan Zhao. 

Sekiranya musuh lebih kuat daripada anda, seranglah sesuatu atau seseorang yang mereka sayangi atau yang bernilai bagi mereka. Bagi melemahkan semangat musuh, sambil mencari celah kelemahannya, anda mungkin dapat mencapai matlamat.

 

Seramai 12 orang rakyat Malaysia (antaranya dua orang wakil rakyat DAP dan seorang yang menjawat EXCO kerajaan Negeri), semasa Pakatan Harapan masih memerintah, telah ditahan tanpa bicara di bawah SOSMA selama hampir empat bulan, dengan dakwaan bahawa mereka menyokong dan terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

 

Sepanjang masa kes itu diusahakan penyelesaiannya, Muhyiddin Yassin, selaku Menteri bertanggung jawab, mempersembahkan lakonan yang betapa hebatnya dalam memberi gambaran bahawa beliau tidak sama sekali menyalahkan DAP. Padahal, di sebalik tabir, dia telah memberitahu kawan dan lawan bahawa pihak polis mempunyai bukti yang kukuh bahawa kesemua dua belas yang ditahan adalah sememangnya penaja pengganas. 

 

Ia nampak jelas sekarang, bahawa keputusan untuk mendakwa dan menahan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melemahkan semangat DAP, supaya kami terpaksa menumpukan semangat, masa dan tenaga untuk menyelamatkan saudara-saudara kami yang teraniaya. 

 

Ketika kami berhempas pulas berusaha menyelamatkan saudara kami yang tidak bersalah sambil menerangkan seba-sebab sebenar kepada orang awam, kumpulan pengkhianat mencatur dan menggerakkan pelan kotor mereka. 

 

Strategi 3 

借- Pinjam

刀-pisau

杀- bunuh

人- orang

Membunuh dengan pisau pinjaman. 

Menggunakan kekuatan pihak lain ataupun menghasut sekutu musuh yang kecewa untuk mengkhianat musuh. Boleh juga membakar kemarahan pihak lain yang bermusuhan dengan musuh anda untuk bertindak tanpa anda melibatkan diri.

 

Isu pelaksanaan pengajaran Jawi kepada semua murid darjah empat sebenarnya telah pun diputuskan oleh MCA dan BN sewaktu mereka masih kerajaan pada tahun 2015. Dengan bantuan daripada akhbar Sinchew yang menerbitkan berita putar-belit dengan menuduh kerajaan Pakatan Harapan memaksa Bahasa Jawi kepada semua murid, ia telah mencetuskan satu reaksi yang negatif dalam kalangan rakyat bukan Melayu. 

 

UMNO, Bersatu, PAS dan MCA terus mengambil kesempatan untuk menyerang dan menikam DAP dengan tuduhan rasis, memperlekeh bahasa kebangsaan, dan menghina sejarah Melayu sedangkan MCA sebenarnya yang bertubi-tubi membantah pengajaran tulisan Jawi secara keseluruhannya dalam akhbar-akhbar cina. DAP yang terpaksa menyelamatkan keadaan dan membuat satu rundingan penyelesaian yang menang-menang, yang akhirnya menjadikan DAP satu sasaran serangan yang lebih besar dari sebelum ini. 

 

MCA menghasut rakyat berketurunan cina membenci DAP, UMNO pula menghasut orang Melayu membenci DAP; dengan menggunakan kontroversi buatan mereka sendiri. Akhirnya DAP ditikam oleh puak-puak pengkhianat dengan pisau pinjaman MCA dan UMNO. 

 

Strategi 4 

以-menggunakan

逸- surut/undur

待-tunggu

劳- ganjaran/ hasil usaha

Huru-harakan musuh sambil menjimat tenaga diri. 

Mengetahui dan merancang pertempuran yang sebenarnya signifikan sambil tidak membazir sumber dan tenaga dengan serangan yang tidak bermakna. Mendorong musuh untuk bertempur yakni membazirkan tenaga sia-sia sambil anda menjimat tenaga. Apabila musuh keletihan dan ketandusan sumber, barulah anda menyerang habis-habisan .

 

Pada peringkat awal tertubuhnya kerajaan Pakatan Harapan negeri Perak, kami yang berada dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan telah bersetuju sebulat suara  untuk menunaikan kesemua janji manifesto kepada rakyat Perak. Berkenaan hakmilik kekal kepada penduduk kampung tersusun, penempatan kaum India dan kampung baru, Peja Azumu sendiri yang mencadangkan supaya para penduduk Kampung Tersusun Melayu diberi peluang menikmati dasar baik ini dahulu, kemudiannya barulah dinikmati oleh Kampung Baru Cina. 

 

Saya masih ingat permintaan beliau untuk mengutamakan kampung baru di bawah DUN Chenderiang (dahulu kawasan beliau). Beliau memberi jaminan bahawa beliau akan mengutamakan pelaksanaan dasar ini sendiri. Pada ketika itu kami tidak ada sebarang masalah dengan syarat-syarat tersebut, asalkan kami dapat menunaikan janji tersebut dalam tempoh penggal kami. 

 

Setelah berbulan-bulan berlalu, tidak ada satu pun usaha yang nampak diadakan oleh pihak beliau. Pelbagai alasan digunakan bagi mengelengahkan pelaksanaan keputusan itu yang hakikatnya telah lama dipersetujui dan termaktub dalam manifesto bersama. 

 

Serangan daripada pelbagai pihak mula timbul. Seperti biasa, hampir kesemuanya ditujukan kepada DAP, baik daripada penyokong yang sudah penat menunggu, mahupun yang bermusuhan dengan DAP. 

 

Dalam diam tanpa melawan, Peja dapat mengelak daripada menjawab isu gagal pelaksanaan janji manifesto, di samping menjadikan musuhnya menghadapi serangan daripada semua pihak sehingga DAP kehilangan kredibilitinya sebagai parti pemerintah. DAP menjadi mangsa atas kejujuran sendiri.

 

 

Strategi 5

趁-ambil kesempatan

火- kebakaran

打劫- merompak

Merompak pada ketika rumah kebakaran.
Mengambil kesempatan untuk menyerang ketika musuh berhadapan dengan masalah, biarpun konflik dalaman mahupun serangan daripada pihak lain.

 

Sedang kerajaan persekutuan Pakatan Harapan bangkit melawan ancaman  pandemic Covid-19 yang baru bermula, puak-puak ini pula sibuk bermain politik dengan Langkah Sheraton. Nyawa rakyat tidak penting buat mereka, hanya hari ini mereka pura-pura menjadi juara. 

 

Selepas khianat dan merampas kuasa, kerajaan baru mereka Perikatan Nasional mengambil kesempatan untuk melibatgandakan lantikan politik seperti 70 Menteri dan Timbalan Menteri, GLC dan pelbagai lagi atas nama ‘scheme of things’. Wang negara menjadi mainan mereka sedangkan rakyat semakin parah ditekan Covid-19 dan kesan ekonominya. Tambahan lagi, dengan sogokan, ugutan dan pelbagai cara yang biasa digunakan sewaktu huru-hara penjarahan, mereka merompak satu demi satu kerajaan negeri. 

 

Sebiji seperti gelaran yang diberi kepada Najib sebelum PRU14, yakni pencuri, perompak, penyangak, penyamun; puak-puak ini bersungguh-sungguh mengaut segalanya. Cuma kali ini, semuanya yang menyokong telah terlibat, tidak hanya menuding jari kepada Najib seorang sahaja. 

 

Strategi 6 

声-bunyi

-timor

击- serang

西-barat

Bunyikan gendang perang di timur, serang dari barat. 

Elemen kejutan dalam sesuatu pertempuran amat bernilai. Berikan gambaran bahawa serangan datang dari tempat yang lain dengan tipu daya supaya musuh melencongkan tumpuan tenaga pertahanan ke satu hala. Ini membuka ruang  dan celah kelemahan di bahagian ekor, dan serang yang benar akan dilancarkan dari belakang secara mengejut.

 

Dalam keadaan politik terkini, terdapat ura-ura bahawa elemen-elemen tertentu dalam UMNO bersedia berkerjasama dengan Pakatan Harapan termasuk DAP untuk menjatuhkan Muhyiddin. 

 

Daripada hal ini, jelas lah bahawa ada tiga naratif tersirat yang hendak disampaikan. Pertama, perhubungan Bersatu dan UMNO dalam keadaan nazak; kedua, wujud ruang untuk sesiapa menyerang Muhyiddin yang nampaknya kehilangan sokongan majoriti parlimen; ketiga, UMNO mengambil posisi tegas bahawa mereka sahajalah yang layak mengambil kedudukan menjadi pihak dan kuasa penentu.

 

Kesemua ini mengundang semua pihak untuk menempatkan meriam, membidik panah, mengacu senapang ke arah Muhyiddin dan Bersatu, dengan memberi gambaran bahawa pertempuran akan berlaku di sana. Dengan laungan ‘serang Muhyiddin’ dan ‘janji tumpor Muhyiddin’, ramai pihak yang beriya-iya asah parang sambil berarak ke arah medan perang yang ada di mana Muhyiddin bertapak.

 

Sementara itu pula, ramai yang terlepas pandang naratif ketiga; UMNO hendak kembali berkuasa mutlak. Semua telatah yang mengumpan Pakatan Harapan untuk bersama menubuhkan kerajaan bersama UMNO, hanya akan merugikan dan menghakis kredibiliti dan reputasi Pakatan Harapan. 

 

Selain daripada porak peranda dalam kalangan pemimpin dan akar umbi (yang sebahagian boleh terima kerjasama dengan sesetengah MP UMNO dan sebahagian menolak bulat-bulat), suara rakyat atas pagar yang menyampah dengan semua politikus atas khayalan mabuk kejar kuasa pula ditenggelamkan. UMNO dalam senang dan tenang meneruskan agenda mereka.

 

Semua kemelut, kekeliruan dan keadaan raban teben ini pastinya ada tersimpan dan tertulis di dalam buku strategi perancangan UMNO, tetapi mereka akan pastikan semua musuh dan seteru mereka akan berada di kedudukan yang paling lemah dahulu sebelum mereka melepaskan hentakan membunuh terakhir.

 

Kesimpulan

 

Ini baru 1 sahaja daripada 6 Bab yang terkandung dalam kitab 36 Strategi. Tumpor teman kalau nak labun pasai semua, ye dok? Yang jelas di sini, politikus bermanhaj UMNO berpolitik dengan strategi perang. Bagi mereka, politik itu adalah perang. Seperti zaman dahulu, kaum pembesar mencatur, mengisythar dan melancarkan perang – tapi yang berperang adalah rakyat melawan rakyat.

 

Kita tahu, bilamana ada perang, pasti ada nyawa yang terkorban; baik kawan mahupun lawan. Politik sepatutnya sebuah perjuangan untuk selamatkan orang, dan membawa sesebuah negara, bangsa, masyarakat dan rakyat mara ke depan bersama-sama. Matlamatnya menyatupadukan dengan kebaikan bersama, bukannya memecah belahkan rakyat demi keuntungan sang penguasa. 

 

Maka, hari ini, Rakyat berhadapan dengan pilihan: antara perang yang berakhir dengan kemenangan elit politik atau perjuangan yang mana rakyat berpegang kepada prinsip berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

 

Semoga rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tidak mudah cair dengan laungan ‘hidup Melayu’ yang datangnya daripada sestengah pembesar politik yang hanya pandai menciplak strategi mereka dari kitab China purba dan kemudiannya diputarbelitkan pula semata-mata untuk menghasut rakyat Malaysia keturunan Melayu membenci rakyat Malaysia keturunan Cina.

 

Facebook Comments