Saya mengambil maklum mengenai kes peningkatan Covid-19 di dalam Negara kita baru-baru ini yang telah mencapai angka harian tertinggi iaitu 8, 868 kes positif. Peningkatan yang sebenarnya dijangka ini menjadi bukti bahawa barisan kepimpinan negara, termasuk saya sendiri walaupun sekadar atas kapasiti ADUN di Negeri Perak, perlu memainkan peranan yang proaktif dalam melandaikan lengkung COVID-19, terutamanya dalam penyediaan infrastruktur vaksinasi. Pada hemat saya, biarpun berdiri di sini bukan atas bahtera kerajaan, secara individunya apabila dipilih oleh rakyat, saya terpanggil untuk mencari jalan alternatif bagi mengembalikan semangat ataupun morale rakyat yang setiap hari dihentam badai ekonomi yang menjerut leher. Menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia juga, saya berharap supaya apa-apa inisiatif yang saya gerakkan mampu menyumbang kepada peningkatan vaksinasi, baik di kawasan luar bandar mahupun di kota dan pinggirannya.
Sepanjang 3 4 minggu yang lalu, saya telah menghabiskan banyak masa dan tenaga berjumpa dan bermesyuarat dengan beberapa pihak dalam mencari ikhtiar bagaimana Bandaraya Ipoh boleh mempunyai PPV Bergeraknya yang tersendiri, terutamanya untuk memudahkan warganya untuk menerima vaksin tanpa perlu ke PPV sedia ada. Rundingan demi rundingan, akhirnya, ada sedikit hasil untuk kita raikan. Hasilnya, sebuah persetujuan telah termeterai antara Pusat Komuniti ADUN Pasir Pinji dan MP Ipoh Timor dengan syarikat CKS Bumi Sdn. Bhd., iaitu sebuah anak syarikat Perak Transit. Persetujuan ini mengangkat usahasama mereka untuk menyediakan sebuah bas 11 meter bagi tujuan PPV Bergerak yang bersasar ini. Hal ini adalah sesuatu yang perlu diraikan kerana di samping ia suatu projek yang disokong penuh oleh syarikat kelahiran Negeri Perak, manfaatnya bakal dirasai oleh segenap warga Ipoh yang antaranya warga tua yang terlantar di rumah, orang-orang OKU yang sukar bergerak, orang fakir miskin yang terputus teknologinya, dan penduduk-penduduk kampung yang tiada pengangkutan. Saya, mewakili Pusat Komuniti ADUN berasa amat bersyukur kerana akhirnya ada sinar untuk kami membantu komuniti di sini, terutamanya komuniti bersasar iaitu Pasir Pinji untuk menerima vaksin dengan lebih mudah, lebih cepat, lebih selamat dan lebih terancang.
PPV Bergerak adalah satu projek yang memakan kos perbelanjaan yang tidak kurang tingginya. Ia memerlukan koordinasi yang hebat dalam menggembleng tenaga kerja pakar ke arah objektif yang sama. Kita bercakap tentang penglibatan barisan pakar perubatan, jururawat, PDRM, Rela, dan sukarelawan. Mendukung aspirasi kami, CKS Bumi Sdn. Bhd. muncul pada saat yang diperlukan. Syarikat ini sudah pasti mahu melihat warga kota Ipoh bebas dan berkeyakinan untuk ke sana dan ke sini menggunakan pengangkutan mereka sendiri. CKS Bumi pasti mempunyai hala tuju yang sama untuk melihat Ipoh membaiki dirinya supaya masa depan syarikat ini turut terjaga.
Warga Ipoh perlu rasa bertuah kerana CKS Bumi bukan sahaja akan menyumbangkan sebuah bas 11 meter untuk tujuan PPV Bergerak, tetapi mereka juga akan menanggung kos retrofit bas tersebut untuk menempatkan beberapa kubikel vaksinasi di dalamnya serta kos pemandu bas dan minyak. Berbicara tentang peranan proaktif dalam perjuangan yang serupa ini, kami berterima kasih kepada Mediklinik Manjoi kerana turut bersama-sama meminjamkan kepakaran dan ketulusan niat untuk membantu lebih ramai warga menerima vaksin dengan lebih mudah dan cepat. Peranan Mediklinik Manjoi bukanlah sedikit, malah tanpa mereka, mustahil sebenarnya untuk kami teruskan agenda bersama ini. Mediklinik Manjoi bertanggungjawab untuk memantau susun atur pergerakan PPV Bergerak di samping menyediakan petugas kesihatan untuk tujuan vaksinasi dan lain-lain.
Saya, juga mewakili barisan organisasi di hadapan ini, bersyukur dan berterima kasih kepada wira-wira yang tidak didendangkan, yang juga turut bersama-sama kita dalam menjadikan PPV Bergerak ini suatu realiti. Insan-insan yang dibelakang tadbir, antaranya Pengarah Majlis Keselamatan Negeri Perak, Pengarah Kesihatan, Pengerusi CITF Peringkat Daerah Tuan D/O dan Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Pengerusi CITF Peringkat Negeri. Penghargaan ini disampaikan atas kerjasama dan tindakan pantas mereka dalam memberi peluang dan respon yang menggalakkan ke atas permohonan saya ini. Mesyuarat demi mesyuarat telah memberikan pelbagai penambahbaikan ke atas rekabentuk PPV Bergerak ini. Harap-harapnya, keputusan kepada PPV Bergerak ini akan akhirnya berpihak kepada rakyat. Itu harapan yang cuba kami bina.
Facebook Comments