‘Just-In-Time’ Lawan ‘Just-In-Case’

‘Just-In-Time’ Lawan ‘Just-In-Case’

Tempoh masa seseorang dilindungi daripada jangkitan COVID-19, sama ada melalui vaksinasi ataupun jangkitan secara semulajadi – adalah sesuatu yang tidak boleh dipastikan setakat ini. Anthony Fauci, Pengarah U.S. National Institute of Allergy and Infectious Diseases (NAID) telah menyatakan bahawa data-data yang diperolehi sehingga kini menunjukkan perlindungan tersebut boleh bertahan sekurang-kurangnya 6 bulan, dan jika bernasib baik, sehingga setahun lamanya.

Menurut suatu kajian American Association for the Advancement of Science, imuniti yang terhasil secara semulajadi (keadaan di mana pesakit dijangkiti) boleh bertahan sehingga 8 bulan. Menurut sesetengah pengkaji pula, perlindungan yang terhasil daripada vaksin adakalanya lebih baik dan lebih lama, namun kita harus akui bahawa data-data kajian masih lagi tidak mencukupi untuk menyokong kepada kesimpulan ini.

Kesemua kenyataan ini sememangnya menimbulkan keraguan, mendatangkan kontradiksi yang tidak diingini. Secara tuntasnya, tempoh perlindungan am vaksin-vaksin yang mendapat kelulusan penggunaannya di Malaysia mungkin bertahan antara 8 bulan ke setahun. Perlu saya beri penekanan yang secukupnya bahawa- yang pasti hanya vaksin memang berkesan, tempoh keberkesanan pula, semua adalah ramalan semata-mata, walaupun ianya daripada mereka yang benar-benar berkelayakan.

Pakar-pakar yang lain di dalam bidang ini juga mengetengahkan bahawa adanya kebarangkalian ‘escape variants’ masa hadapan (mutasi) yang lebih kuat dan lebih kukuh daripada yang kita hadapi sekarang. Maka, ia juga tidak mustahil ‘escape variants’ ini boleh tembusi perlindungan yang disediakan oleh vaksin-vaksin yang ada di pasaran.

Kerisauan-kerisauan ini belum lagi kita ambil kira ‘jangkitan semula’ selepas pesakit pulih dan tahap keseriusan penyakit yang sedia ada, ataupun kes-kes penembusan biarpun pesakit telah divaksin. Dalam beberapa hari yang lepas, kita telah disajikan dengan kes-kes kematian COVID-19 (seluruh dunia) melibatkan individu-individu yang sudah menerima 2 dos vaksin. Jikapun kita merasakan ia suatu kes yang jarang dan terpencil, adakah kita benar-benar bersedia sekiranya ia menjadi suatu realiti, suatu norma yang lebih mengganas?

Sementara saya boleh dikatakan berani menyelar tindakan syarikat-syarikat farmaseutikal mengguna pakai taktik menakut-nakutkan dengan mempelopori ‘booster vaccines’ untuk kaut untung lebih, kita masih perlu bertanya sama ada kita bersedia atau tidak untuk vaksin pusingan kedua. Dengan terma ‘pusingan kedua’ ini, saya tidak maksudkan dos kedua; saya maksudkan, pusingan vaksinasi seterusnya SETELAH kitaran yang pertama sekarang ini tamat, dan perlu juga diingati bahawa perlindungan pusingan pertama yang ada sekarang ini pun (2 dos vaksin) hanya bertahan setahun sahaja menurut kajian dan maklumat terkini. Bayangkan susah-payah menempuhi segala hiruk-pikuk mendapatkan vaksin sekali lagi pada hujung tahun depan, sama seperti yang kita hadapi sekarang ini; hanya kerana kegagalan pusingan pertama vaksinasi ini dalam mengangkat imuniti kelompok.

Lebih memedihkan, adakah kita sanggup untuk mengakui bahawa COVID-19 boleh menjadi endemik, suatu keadaan di mana ia hidup seiring dalam komuniti kita? Kebanyakan antara mereka yang mengangkat kebimbangan ini, berasa amat yakin bahawa COVID-19 akan menjadi kurang bahaya berbanding sekarang. Tetapi, adakah keyakinan itu boleh kita angkat tatkala seluruh dunia sedang diserang bertubi-tubi oleh pelbagai varian baharu ini?

Sehingga kita mempunyai vaksin ‘super pancoronavirus’ yang bukan sahaja mengurangkan penyakit, tetapi juga menyingkirkan habis virus tersebut tanpa kira apa jua varian, ataupun setidak-tidaknya mengelakkan jangkitan dan penularannya, sehingga itulah kita tidak boleh pasti tentang apa-apa sekalipun.

Malah, adakah kita sanggup untuk hidup dalam masa depan yang dihuni oleh varian-varian yang sewenang-wenangnya muncul dan menyerang kita dalam jarak waktu yang lebih pantas? Adakah kita mempunyai kapasiti kajian, pembangunan sains dan penghasilan vaksin untuk mengejar kerakusan mutasi-mutasi ini? Adakah juga kita sanggup hendak melabur ke dalam industri penghasilan vaksin sebagai persediaan kepada hamparan puluhan kebarangkalian ini?

Adakah kita bersedia untuk menerima dan turut merangka norma baharu dan realiti mendatang yang melibatkan pusat vaksinasi sebagai unit kekal di dalam ruang lingkup bandar, urbanisasi dan pembangunan luar bandar? Cukupkah sumber manusia untuk kita uruskan hal-hal ini?

Di dalam forum baru-baru ini di Oxford and Cambridge Alumni Network, apabila ditanyakan tentang pemberian vaksin percuma sekiranya virus ini menjadi endemik, Menteri Malaysia Untuk Koordinasi Vaksin telah menyatakan bahawa Malaysia ‘mungkin tidak mampu menjalankannya untuk pusingan kali kedua’. Jadi, jelaslah ada pengakuan bahawa rentak COVID-19 menjadi endemik itu benar-benar belaka, namun jelas juga ia tidak pun diiringi sebarang perancangan dan strategi untuk memacu negara ke arah itu.

Walau bagaimanapun, perlu ada penafian di sini bahawa saya mungkin ramal saja; bahawa kita mungkin sedang menyaksikan tamatnya varian-varian SARS-CoV2 yang degil dan membunuh ini. Mungkin juga vaksin yang sedia ada ini terbukti memberikan perlindungan yang lebih panjang lamanya, lebih daripada yang saintis-saintis dunia jangkakan sekarang. Malah, dalam beberapa bulan yang akan datang ini, kita mungkin dirahmati dengan penciptaan vaksin baharu yang lebih hebat dalam penyingkiran jangkitan dan tularannya sekali gus. Kadar vaksinasi yang tinggi secara tiba-tiba, mungkin juga tersedia di depan kita, yang menyebabkan kadar kematiannya berhenti serta-merta. Pada tahun depan, kita mungkin bertemu dengan kehidupan pra-COVID-19 yang kita semua rindukan. Setiap kebimbangan, ketakutan dan kerisauan yang saya hamparkan jauh di atas mungkin ramalan yang terlalu suram, terlalu merepek untuk jadi kenyataan. Kita hakikatnya mungkin hidup baik-baik saja…

Namun, lagi sekali, mungkin juga tidak. Tak siapa yang tahu.

Ramai antara kita membuat andaian bahawa kerajaan di seluruh pelusuk dunia, termasuklah kerajaan kita, akan menyelamatkan dunia ‘just-in-time’ ketika pandemik ini mula-mula terjadi dahulu. Kita nampak sekarang, selepas berbulan-bulan lamanya, bahawa ia hanyalah kegagalan demi kegagalan semata-mata. Jika peristiwa sepanjang 18 bulan lepas tidak mengajar kita tentang kepentingan pemikiran ‘just-in-case’ yang jauh lebih berjaga-jaga ketika berhadapan dengan pandemik ini, makanya, wajarlah kita tunggang terbalik begini.

Jadi, buatlah perancangan, perlu kita bertindak sekarang. Ini bukan filem aksi di mana hero datang ‘just-in-time’. Ini perlukan lebih kepada pendekatan ‘just-in-case’. Lebih baik kita lawan daripada kita kecundang, lebih baik kita selamat daripada tersungkur bersalah; just-in-case.

 

Howard Lee

Ketua DAPSY Kebangsaan

ADUN PASIR PINJI

Sudah Divaksin Penuh

 

(a) https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7919858/

(b) https://www.washington.edu/news/2021/04/13/covid-19-vaccines-escape-variants-of-the-coronavirus-are-a-serious-future-threat/

Facebook Comments