Rakyat Melaka sudah buat pilihan. Meski ia keputusan yg pedih, kita harus akur dan terima. Tiada pilihan lain.
Bak kata pepatah orang lama “Apabila dah merah, kunyit menyalahkan kapur, kapur menyalahkan kunyit”. Lazimnya, beberapa hari sejurus selepas sesuatu ketewasan yang sebegini ketara, ramai akan ditenggelami emosi dan perasaan marah dan kecewa.
Jari akan dituding ke arah rakan; kesalahan akan dicari di kalangan kawan sepasukan. Ini perkara biasa. Ramai lagi yang akan kata ‘i told you so’. Meski tidak semua tepat dan benar, kesemua itu kita wajib dengar, hadam dan teladani.
Sementelah emosi kecewa kita surut, dan kemarahan kita reda sedikit, kita wajib bermuhasabah dan menjalankan penilaian introspektif secara jujur dan tulus. Permasalahan yang lama kita elak depani, dan the elephants in the room perlu kita tangani.
Segala ketidakadilan dan kezaliman yang berpaut dengan pilihanraya ini memang kita ketahui. Rakyat dan pengundi juga sedari; tidak perlu kita ulas dan ulang asbab dan alasan yang menyumbang kepada kekalahan kita. Rakyat dan pungundi, malah penyokong dan ahli kita tetap berasa kecewa atas kegagalan kita; dan menyalahkan sesiapa dan apa jua selain diri kita sendiri hanya akan tampak menegakkan benang yang basah.
Bak kata Gramsci, “I’m a pessimist because of intelligence, but an optimist because of will (Saya seorang pesimis dek kerana kebijakan, tetapi optimis kerana kemahuan).” Saya bukan jenis yang pesimis kerana saya tidak bijak sangat, khususnya pada waktu-waktu kekalahan. Tetapi pada kali ini, sukar sangat untuk saya rasa optimis juga, kerana saya tidak nampak kesungguhan mencari kemahuan.
Sarawak akan masuk waktu dalam beberapa minggu lagi. Lepas keputusan Melaka, adakah kita masih hendak mengambil penampilan, posisi, rasionale, taktik dan strategi yang sama dan mengharapkan hasil yang berbeza? Adakah kita akan menemui kemahuan untuk kembali berjaya demi rakyat dan negara?
Demikianlah soalan-soalan yang perlu kita ajukan kepada cermin di hadapan.
Howard Lee
Ketua Pemuda HARAPAN
Facebook Comments