“Gaduh” Sesama PH Tak Pernah Seteruk UMNO Guling Peja

“Gaduh” Sesama PH Tak Pernah Seteruk UMNO Guling Peja

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PPBM merangkap YB Menteri Belia dan Sukan dan mantan YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu telah melontarkan tuduhan bahawa beliau terpaksa menguruskan pergaduhan antara DAP dan Amanah setiap hari pada zaman pra-pengkhianatan beliau sewaktu memimpin pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan Negeri Perak.
Mungkin beliau telah lupa bahawa acap kali sesuatu isu bangkit yang tidak mencapai konsensus antara ke-empat-empat parti, beliau sendiri yang melaga-lagakan hubungan baik antara ahli-ahli EXCO. Keadaan ini bukan sahaja berlaku antara parti yang berbeza, malah ada ketika ia daripada parti yang sama. Selaku salah seorang anggota EXCO (Majlis Mesyuarat Kerajaan) yang dikepalai oleh beliau, saya boleh sahkan bahawa, meski ada ketegangan antara ahli-ahli inidividu- perhubungan antara DAP dan Amanah TIDAK PERNAH sampai bergaduh.
Sekurang-kurangnya- sekiranya ada pun- pergaduhan antara Amanah dan DAP tidak sehingga seperti antara PAS, UMNO dan PPBM di Perak, sehingga Menteri Besar PPBM diguling oleh rakan dari UMNO. Nasihat saya kepada beliau dari orang Perak kepada orang Perak; Nak beda’ah pun, jangan ludah langit ate muka miker sendiri yang kena. Jangan ingker nak nyangkoi kubor orang, nanti miker sendiri yang jerombab ke dalam. (Kalau hendak berbohong, jangan sampai meludah langit sehingga muka sendiri yang kena; jangan seronok sangat menggali kubur orang, nanti sendiri pula yang jatuh ke dalam.)
Sebagai contoh; berkenaan cadangan pembinaan suatu kilang pemprosesan non-radioactive rare earth elements (NR-REE) di Perak dan kilang pemprosesan minyak dan gas; kedua-dua nya di Perak. Wakil PKR, DAP dan Amanah telah ada yang menyuarakan kekhawatiran kami berkaitan alam sekitar yang pasti akan terjejas.
Tetapi di luar mesyuarat pula, mantan YAB MB sendiri membisikkan kepada ahli EXCO yang menolak cadangan tersebut. Kononnya, ada diantara ahli EXCO dari parti rakan dan parti kami sendiri telah bersetuju. Akhirnya kami dapat tahu kesemua itu adalah tidak benar dan hanya kisah dongeng ciptaan mantan YAB MB sendiri. Banyak lagi contoh kejadian tipu-menipu seperti ini. Namun, saya tidak menulis hanya untuk membuka aib beliau, itu bukanlah tujuannya.
Berkenaan pemilihan syarikat Puncak Emas Infra Sdn Bhd (PEISB) untuk mengambil alih bidang kerja PBT, iaitu pembersihan awam dan penyelenggaraan infra-awam pula, saya sendiri saksikan kehebatan mantan YAB MB ini memutar belit dan membohong. Saya tidak boleh menyatakan pendirian ahli EXCO yang lain kerana ia bukan hak saya, tetapi saya antara yang paling lantang menentang cadangan itu, tetapi akhirnya telatah-telatah beliau termasuk penukaran nama daripada Bujang Selenggara ke PEISB, dan juga taktik pecah-belah dengan membeli hati orang yang akhirnya bersekongkol dengan beliau dengan mengkhianati PH sewaktu langkah Sheraton.
Sesuatu pergaduhan yang membawa keputusan kebanyakan secara berjemaah lazimnya dipanggil debat, yang jelas tidak begitu difahami oleh; itu adalah fitrah demokrasi. Pergaduhan kerana hendak melakukan dan mencapai yang terbaik, itu adalah lumrah politik
Selama ketiga-tiga parti Amanah, DAP dan PKR ini bersama, memang tidak pernah menafikan masing-masing agak kerap membawa pendapat dan pendirian yang berbeza. Namun akhirnya kita tetap mendakap semangat meski pendapat yang berbeza, tetapi akhirnya kami pertahankan keputusan yang dibuat bersama, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Seperti biasa, YB Menteri Belia dan Sukan yang sentiasa mahu menampilkan persona yang sempoi dan bersahaja, sebenarnya berlidah cabang dan bermuka-muka. Tetapi tidak mengapa. Seperti biasa, kata-kata beliau hanya akan menyedarkan orang ramai di atas keperibadian beliau sahaja.
Howard Lee
Ketua Pemuda Pakatan Harapan Malaysia
Ahli Dewan Undangan Negeri Perak, Pasir Pinji

Facebook Comments