PN Gagal Urus Vaksinasi: Kitaran Kegagalan Yang Tak Sudah

PN Gagal Urus Vaksinasi: Kitaran Kegagalan Yang Tak Sudah

Berulang kali saya memberi penekanan kepada bagaimana pentingnya untuk Perikatan Nasional merendahkan ego supaya mereka memulakan inisiatif penglibatan semua MP dan ADUN dalam memerangi COVID-19. Hari demi hari, kita dipaksakan untuk menerima kebenaran yang pahit tentang pertambahan kes-kes positif, dan ia seolah-olah suatu berita tabloid kepada mereka di pihak Perikatan Nasional. Mereka tidak mengambil langkah yang proaktif, mereka buat ‘kepala tahu’, mereka gagal untuk gerakkan penglibatan semua MP dan ADUN, dan mereka ambil enteng tentang pendapat-pendapat pakar statistik, kesihatan dan keselamatan negara.

Munculnya pelbagai kluster sehingga ke hari ini jelas menunjukkan bahawa kita telah pun sampai ke suatu hakikat di mana Kerajaan Persekutuan telah kekurangan tenaga kerja dan kemudahan. Hal ini semakin parah bilamana barisan Hospital Swasta seluruh negara mengumumkan bahawa kapasiti penerimaan pesakit COVID-19 telah capai had maksimum. Biarpun kedua-dua keadaan semasa tersebut sukar kita telan, namun, ia pasti menjadi lebih parah sekiranya Perikatan Nasional masih duduk termangu-mangu, gagal, tidak dinamik dan takut untuk mengutamakan penglibatan seluruh jentera Rakyat Malaysia.

 

SOLUSI

Apa yang saya cadangkan, pasti dikongsi bersama oleh semua MP dan ADUN tidak kira proksi mana mereka berada. Saya pasti semuanya adalah mereka yang bekerja rapat untuk rakyat dan bertarung habis-habisan untuk memastikan Rakyat yang diwakili sentiasa selamat dan sihat.

Pusat Saringan adalah benteng pertama yang perlu didirikan oleh Kerajaan Persekutuan. Hanya dengan bertambahnya Pusat Saringan, kita dapat kenal pasti mereka yang membawa COVID-19 dan memisahkan mereka ini daripada orang ramai supaya penularannya dikekang. Di Pasir Pinji, kami bersyukur kerana kami mempunyai sebuah Dewan Orang Ramai yang boleh dan sesuai dijadikan Pusat Saringan.

Namun, pada saat tenaga kerja dan kemudahan Kerajaan Persekutuan telah pun mencapai had maksimum, ia tidak bermakna kemungkinan-kemungkinan lain itu tiada. Maka, saya sendiri mencadangkan bahawa Kerajaan Persekutuan perlu menggembleng institusi-institusi seperti Jawatankuasa Ketua Kampung, Pejabat ADUN dan Pejabat MP untuk membantu meringankan beban tanggungjawab yang sepatutnya dikongsi. Di Pusat Khidmat DUN Pasir Pinji, kami sendiri sedia dan sanggup menawarkan seluruh batang tubuh dan tenaga kami untuk membantu menguruskan Pusat Saringan yang lebih baik didirikan di kawasan kami, semestinya dengan bantuan dan latihan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Malah, selama ini pun, kami ambil inisiatif sendiri untuk menggalakkan ujian saringan, pendaftaran vaksin dan saranan Kerajaan Persekutuan untuk #DudukRumah. Namun, untuk buat lebih daripada itu, ia perlulah seragam dan datangnya daripada Kerajaan Persekutuan sendiri.

Merujuk kepada laman web KKM, imuniti kelompok ialah keadaan penularan jangkitan penyakit yang tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat itu mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit itu. Pada ketika ini, Perikatan Nasional masih gagal untuk mempertahankan janjinya untuk menyediakan 160, 000 dos sehari menjelang pertengahan tahun ini. Secara purata dalam tempoh 14 hari lepas, pada kadar lebih kurang 43, 000 dos sehari pasti akan melambatkan imuniti kelompok bagi Rakyat Malaysia.

Namun, kegagalan mereka ini diselimutkan dengan menyalahkan rakyat yang gagal untuk mendaftar. Merujuk kepada laman web https://www.vaksincovid.gov.my/statistik/, seramai 10, 850, 160 rakyat Malaysia telah mendaftar dan yang divaksinasi penuh pula hanyalah pada 905, 271 orang (8.34 %). Celah mana justifikasi untuk menyalahkan rakyat ini meyakinkan? Fasa 3 pun sudah sangkut di tengah jalan, apa lagi yang rakyat perlu dipersalahkan?

Malah, jika mengikut sasaran 23.6 juta imuniti kelompok, Program Imunisisasi yang telah berlangsung sejak 25 Februari 2021 (kini berjumlah 90 hari) hanya menyumbang kepada sekitar 6.68% (dos 1) dan 3.83% (dos penuh) sahaja. Hal yang demikian bermakna purata kadarnya yang lembab pada 10, 058 orang/hari memerlukan paling kurang 6.4 tahun untuk mencapai imuniti kelompok.

Baiklah, mari kita bercakap tentang Fasa 2 sahaja yang meletakkan sasaran seramai 9.4 juta orang menjelang akhirnya Ogos 2021. Kita sudah mahu masuk bulan Jun, maknanya tinggal 92 hari bermula 1 Jun sehingga 31 Ogos. Pada 31 Mei, sudah 96 hari PN mula uruskan vaksinasi. Secara mudahnya, untuk mencapai sasaran 9.4 juta menjelang Ogos 2021, setidak-tidaknya, PN perlu menunaikan janji sebanyak 184, 668 dos/hari. Ini belum lagi kegagalan mereka untuk uruslibatkan Fasa 3 yang bakal menyumbang kepada lagi 13.7 juta orang yang divaksinkan yang pastinya bertindih.

 

Purata vaksinasi dos sejak 25 Februari: 27, 594 dos/hari

Purata 14 hari lepas: 43, 000 dos/hari

 

Jika saya lebih optimis, layan dan yakin dengan 43, 000 dos/hari ini pun, ia hanya menyumbang kepada 21, 500 orang yang divaksinkan penuh setiap hari; masih lagi ia memerlukan 1, 097 hari atau pun 3 tahun untuk mencapai imuniti kelompok! Jika PN tekun dengan sasaran 80, 000 orang divaksinkan penuh setiap hari, kita pasti akan capai imuniti kelompok pada awal tahun depan.

Jika fakta nombor ini tidak memberi apa-apa makna pada kalian, maka saya tidak tahu apa lagi yang mampu menggerunkan kita semua. Jadi, saya menyeru supaya Perikatan Nasional mengambil maklum mengenai data-data yang mereka sendiri sediakan dalam vaksinasi yang lebih kerap, lebih luas dan menyeluruh. Malah, saya sendiri menyokong sekiranya proses vaksinasi diberikan juga secara mobile untuk kes-kes tertentu terutamanya golongan kurang upaya dan generasi lama.

Saya sudah banyak kali tegur tentang masalah pokok kepada keadaan yang tidak diingin ini iaitu kegagalan PN dalam komunikasinya sesama pemimpin, komunikasinya dengan para pengeluar vaksin dek kerana lembabnya dapatkan bekalan, dan komunikasinya dengan rakyat dalam saluran maklumat dan kepercayaan. Bercakap tentang ini lama-lama pun, tidak akan kemana kalau yang di tampuk kuasa gagal untuk merendahkan ego mereka dalam menggembleng usahasama antara semua.

Saya terfikirkan suatu perkara sahaja: jika PN masih lembab menjamin kelancaran saringan dan vaksinasi secara berkesan mengikut perancangan imuniti kelompok, maka sia-sialah penerima vaksin terawal yang berkemungkinan hilang tempoh imunitinya…

Maka, berpusing-pusinglah kita dalam kemelut ini, begitulah seterusnya sampai Abang Jamil mampus.

Facebook Comments