Parlimen Batalkan Ordinan Darurat | Bersediakah Kerajaan, Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara Ke Arah Itu?

Ordinan Darurat pertama yang diwartakan di bawah keadaan darurat – juga dikenali sebagai Ordinan 1 – telah berkuat kuasa pada 11 Januari 2021. Ia seterusnya dipinda lagi dengan penambahan 2 subseksyen melalui ordinan P.U. (A) 151 yang diwartakan pada 25 Mac seperti yang berikut:

P.U. (A) 151 

“Peruntukan kewangan sementara”

10A. Walau apa pun apa-apa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan sesuatu Negeri yang berhubungan dengan perbelanjaan yang dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan bagi sesuatu Negeri, apa-apa perbelanjaan tambahan yang menghendaki suatu Akta atau Enakmen atau ketetapan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan bagi sesuatu Negeri, dan pengeluaran daripada mana-mana Kumpulan Wang itu, bagi tempoh darurat berkuat kuasa, apa-apa perbelanjaan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan bagi sesuatu Negeri boleh dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan atau Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi sesuatu Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan mengikut cara bagaimana yang diperuntukkan oleh mana-mana undang-undang bertulis atau mana-mana Arahan Perbendaharaan atau Pekeliling Perbendaharaan yang berhubungan dengannya yang pada masa itu berkuat kuasa.

“Ketidakpakaian tatacara bagi penggunaan wang yang diperdapatkan atau diterima”

10B. Bagi tempoh darurat berkuat kuasa-

(a) Peruntukan yang berhubungan dengan penggunaan wang yang diperuntukkan dalam perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 [Akta 275]; dan

(b) Peruntukan yang berhubungan dengan penggunaan wang yang diperuntukkan dalam perenggan 2(2)(b) Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946 [Akta 188]

tidak mempunyai kesan.”.

Pindaan ini memberi kuasa kepada Perbendaharaan, Ketua-ketua Menteri dan Menteri-menteri Besar untuk memintas laluan Parlimen bagi semak imbangnya, serta tatacara-tatacara biasa pengeluaran dan penggunaan wang awam. Hal ini bermaksud, perbelanjaan sesebuah kerajaan boleh diluluskan tanpa campur tangan dan semak imbang Parlimen yang sepatutnya dikenakan ke atas mereka yang berada di tampuk kuasa, dalam kes ini kerajaan Perikatan Nasional.

Sesetengah antara kita berpendapat, sekiranya Darurat tamat pada 1 Ogos 2021, bajet tahun 2022, yang sepatutnya dibentangkan pada November 2021 ini, perlu melalui proses perundangan yang kita akur sukar dan mantap dek kerana penelitiannya.

Dalam erti kata lain, demokrasi berparlimen negara kita yang kini sedang koma, ada peluangnya untuk bangkit kembali. Maka, kerajaan yang libang-libu dengan krisis keyakinan dan keabsahan dalam kadar yang sungguh epik sekali ini, akan dilayurkan ke meja pengadilan yang kita semua nanti-nantikan.

Bagi kalian yang sedang bersedia untuk meraikan kegemilangan Parlimen dijulang kembali, bersedia untuk mempertanggungjawabkan kerajaan sedia ada ini atas keadaan semasa, dan mungkin menguji keabsahannya melalui Bajet 2022; sabar dan tenang, saya gesa kalian untuk tangguhkan dahulu sambutan tersebut. Kita mungkin saksikan suatu usaha lagi untuk menggagalkan semua cita-cita itu.

 

Masalah Yang Kabur

Ramai yang bertanggapan, sebaik sahaja Darurat tamat berkuat kuasa, ordinan-ordinan yang diwartakan di bawahnya akan terhenti juga secara serta-merta. Sebagai contoh, kita mengandaikan bahawa apabila Darurat tamat pada 1 Ogos, “Peruntukan kewangan sementara” dan “Ketidakpakaian tatacara bagi penggunaan wang yang diperdapatkan atau diterima” yang dinyatakan dalam pindaan Ordinan 1 tidak akan lagi terpakai. Namun, andaian ini boleh dikatakan terpesong menurut undang-undang tertinggi kita.

Keadaan Darurat sekarang ini telah diisytiharkan di bawah naungan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, di mana subseksyen 2B memberi laluan kepada pewartaan ordinan-ordinan yang dimaksudkan. Semua perkara berkaitan Keadaan Darurat adalah diselia oleh keseluruhan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Berat hati saya untuk menyatakan Perkara 150 (7) di mana:

(7) Apabila habis tempoh enam bulan yang bermula dengan tarikh sesuatu Proklamasi Darurat terhenti berkuat kuasa, apa-apa ordinan yang dimasyhurkan menurut Proklamasi itu dan, setakat yang undang-undang itu tidak dapat dibuat dengan sahnya jika tidak kerana Perkara ini, apa-apa undang-undang yang dibuat semasa Proklamasi itu berkuat kuasa, hendaklah terhenti berkuat kuasa, kecuali tentang perkara-perkara yang telah dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan sebelum habis tempoh itu.

Perkara 150 (7) memberi makna bahawa semua ordinan yang diwartakan di bawah Darurat – termasuklah kuasa-kuasa yang diberikan kepada Perbendaharaan, Ketua-ketua Menteri dan Menteri-menteri Besar untuk memintas tatacara perundangan untuk meluluskan bajet – masih lagi akan berkuat kuasa selama 6 bulan selepas tamatnya Darurat.

Hal demikian membuktikan bahawa Kerajaan PN sudah sekian lama merancang untuk memintas tatacara perundangan bajet sejak dahulu lagi. Jika tidak sedemikian rupa, ordinan tersebut boleh sahaja disertakan satu kaveat untuk mengecualikan Perkara 150 (7) daripada terpakai kepada pindaan tersebut, namun ia tidak berlaku sebegitu.

Malah, faktanya juga, semua ordinan yang diwartakan setakat ini, seperti Ordinan Berita Palsu, Ordinan KWAN, dan kuasa kerajaan untuk menguruskan (Baca: merampas) aset-aset yang dinyatakan di dalam Ordinan 1, masih akan berkuat kuasa selama 6 bulan selepas Ogos 1. Secara asasnya, satu-satunya perbezaan ketara setelah 1 Ogos itu adalah kerajaan ini tidak lagi boleh mewartakan ordinan-ordinan baharu. Justeru, ia tidaklah mengejutkan sangat sekiranya kerajaan PN tiba-tiba sibuk berhempas pulas merangka ordinan-ordinan baharu pelbagai disiplin dalam sebulan yang akan datang ini.

Yang pasti, walau apa-apa pun yang berlaku, tiadalah sinar cahaya dan peluang untuk semak imbang majoriti kepada bajet yang akan datang.

 

Jalan Penyelesaiannya

Jadi, apakah jalan penyelesaiannya untuk memulihkan semula Parlimen, atau sekurang-kurangnya mengembalikan semula hak untuk memeriksa Bajet 2022? Jawapannya, sebenarnya boleh ditemui di dalam Perkara 150 itu sendiri, walaupun kita tahu ia jauh panggang dari api.

(3) Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).

Sekiranya dan apabila Parlimen bersidang kembali dan adanya satu usul dibentangkan dan diluluskan di kedua-dua Dewan Parlimen, untuk membatalkan Keadaan Darurat dan ordinan-ordinannya, maka kerajaan akan cenderung untuk membentangkan bajet. Namun, usul sedemikian haruslah datang daripada kerajaan sendiri, memandangkan Speaker bagi kedua-dua Dewan Parlimen itu jarang-jarang sekali akan membentangkan apa-apa yang bukan senafas dengan kerajaan. Jadi atau tidak perkara ini akan bergantung sepenuhnya sama ada kepada kebijaksanaan Speaker-speaker untuk mengenakan pertimbangan dan kuasa mereka, ataupun kepada kerajaan PN sendiri untuk berubah fikiran di selekoh terakhir. Kedua-duanya jarang-jarang sekali akan berlaku, saya curiga.

Persoalan berkaitan yang perlu dijawab oleh kerajaan dan Speaker-speaker kedua-dua Dewan Parlimen adalah;

  • Adakah kerajaan, terutamanya Perdana Menteri dan Menteri Undang-undang, akan membentangkan usul kepada kedua-dua Dewan Parlimen untuk membatalkan dan memansuhkan Keadaan Darurat dan ordinan-ordinannya mengikut kesesuaian Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, sebagai perintah substantif pertama apabila Parlimen bersidang?
  • Adakah Speaker-speaker bagi kedua-dua Dewan Parlimen, dalam andaian kerajaan tidak membentangkan usul kerajaan, membenarkan usul-usul yang dibentangkan oleh anggota cabang bukan eksekutif – menyokong kerajaan atau sebaliknya – untuk dibentangkan bagi pertimbangan kedua-dua Dewan Parlimen?
  • Adakah anggota cabang bukan eksekutif bagi kedua-dua Dewan Parlimen bersedia untuk membentangkan usul sedemikian, untuk memastikan Parlimen tidak akan menjadi itik tempang selama 6 bulan setelah Darurat tamat?

 

Cabaran-cabaran dan Rintangan

Ini bukanlah masanya untuk kita rakyat Malaysia menyambut kebangkitan semula demokrasi, belum lagi dalam masa yang terdekat ini. Dalam beberapa hari yang lepas, ramai yang telah mula mengatur pembingkaian terhadap kenyataan-kenyataan Peguam Negara dan beberapa askar upahan akademik PN, cuba untuk menjual naratif bahawa YDPA boleh dan mesti bertindak dan membuat keputusan berdasarkan nasihat daripada kerajaan.

Hal yang demikian bermakna kerajaan PN mungkin tidak mempedulikan titah YDPA dan Raja-raja Melayu supaya Parlimen segera bersidang, atau secepat mungkin. Mungkin juga ketidakpedulian ini dipanjangkan sehingga adanya ‘nasihat kerajaan’ untuk melanjutkan lagi tempoh Keadaan Darurat, di mana ia sesuatu yang perlu YDPA turuti menurut kepada pembingkaian PN ini.

Sama ada ia suatu penderhakaan oleh kerajaan ini di mata undang-undang, perlulah ditentukan sendiri oleh para hakim yang bijaksana dan rakyat yang celik memandang, sekiranya dan apabila ia berlaku nanti. Namun, satu perkara yang pasti, Parlimen yang separuh tumpor (mati) ini belum lagi selamat sepenuhnya. Tanpa komitmen mereka yang memegang tampuk kuasa untuk membatalkan dan memansuhkan Darurat dan Ordinan-ordinannya, tiada siapa yang tahu bilakah masanya Parlimen dapat bangun daripada tidur yang lama.

Sesungguhnya, ada sesetengah pakar telah memberi tafsiran bahawa Seksyen 10A Ordinan 1 hanya terpakai kepada “bajet tambahan”, bermakna Bajet 2022 tidak boleh dan tidak akan terlepas daripada pemeriksaan kedua-dua Dewan Parlimen. Namun, sekali lagi, sekiranya kerajaan sengaja memasukkan Bajet 2022 di dalam makna ‘tambahan’ dan menjadikan ia alasan kukuh di bawah Ordinan tersebut, bolehkah ia dicabar di mahkamah kelak? Dan jika ia dicabar di mahkamah, adakah ia bakal menemui jalan buntu di bawah Perkara 150(8)(b)(iv)?

(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini-

(b) tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan-

(iv) penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.

Penafian: Tolong buktikan yang saya salah

Mungkin tidak ada satu pun antaranya yang akan berlaku. Mungkin ini sekadar satu kes overthinking dan paranoid sorotan penyelewengan demi penyelewengan PN terhadap tatacara perundangan. Contoh-contohnya melangkaui spektrum, antaranya pendakwaan majoriti untuk membentuk kerajaan sehinggalah mengelirukan YDPA untuk mengisytiharkan Keadaan Darurat atas alasan pandemik kononnya, padahal ia semata-mata satu darurat untuk menyelamatkan temahak kuasa mereka. Kerajaan PN telah membuktikan bahawa ia layak untuk melakukan tindakan-tindakan pengkhianatan dan penderhakaan demi kuasa mereka.

Saya berharap benar supaya semua ini dibuktikan salah, yang saya utarakan di atas ini tidak akan jadi. Namun, jika loceng amaran ini tidak dibunyikan sekarang supaya tindakan-tindakan yang sepatutnya dapat diambil, maka kita sebagai anak bangsa mungkin sekali lagi ditipu dan dikelirukan ke dalam satu lagi saga pemerkosaan demokrasi dan pencabulan institusi negara oleh binatang-binatang politik yang liar, gila kuasa, dan tak kenal erti ihsan.

Ahli-ahli Parlimen, nasib Negara di tangan anda sekarang.

Facebook Comments