Transformasi Parlimen bawah PN: yang keroh diambil, yang jernih dibuang

Transformasi Parlimen bawah PN: yang keroh diambil, yang jernih dibuang

 

Semalam terpahatnya pelbagai lakaran bersejarah dalam landskap tatarakyat dan tatanegara kita. Malangnya bukan jenis yang membanggakan; tetapi yang memalukan dan buat rakyat menyampah.

 

Institusi rakyat tertinggi, iaitu Dewan Rakyat dihina dengan lontaran kesat dan kasar di dalamnya oleh ahli-ahlinya – khususnya daripada yang mengaku dari sebelah kerajaan.- terhadap yang teguh dan tegas di oposisi.

 

Ahli Parlimen oposisi yang muda dikacau oleh yang kurang muda dan lebih tua, tanpa sebab dan alasan semata-mata untuk menyelar dan menyindir usianya yang muda.

 

Ahli Parlimen opisisi berketurunan India diungkapkan “gelap sehingga tak nampak” ; tambahan lagi disuruh memakai bedak oleh ahli Parlimen penyokong kerajaan.

 

Ahli Parlimen yang bangkitkan komposisi jawatankuasa pemilih yang terdiri daripada seratus peratus lelaki berusia, tanpa perwakilan wanita atau belia; beliau pula dimaki dan dicerca.

 

Dewan Rakyat kita telah dicabul. Parlimen kita telah dihina. Institusi legislatif kita telah dirampas maruahnya, demokrasinya dan kepelbagaiannya. Ia telah di cemar dan disuntik dengan diskriminasi umur, rasisme, seksisme.

 

Kita tidak lagi ada di ambang kehancuran. Institusi utama negara kita sedang dihancurkan. Hanya kita, anak Malaysia, wanita dan pemuda yang dapat selamatkan negara.

Facebook Comments