KEMBALINYA NAJIB DAN PENGAKHIRAN MUHYIDDIN YANG MEMALUKAN

Hantaran Facebook terbaharu Zahid Hamidi mengenai kesediaan mereka untuk PRU15 merupakan petanda jelas bahawa Zahid Hamidi dan Najib Razak seolah-olah telah bersepakat untuk Najib kembali sebagai Presiden UMNO. Hal ini tidak dapat disangkal lagi.

Pengaruh Najib dalam budaya dan struktur UMNO masih lagi ketara dan signifikan sepertimana yang disebut oleh Liew Chin Tong. Falsafah ‘wang ialah raja’ yang menjadi pedoman Najib masih lagi segar dan bugar, yang mana menjelaskan mengapa Zahid tunduk sehingga sanggup melepaskan kerusi tertinggi dalam UMNO.

Akar umbi dan jentera parti UMNO telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya mengejut, dan semboyan perang kini jelas kedengaran. Ini bermakna Najib akan menjadi Perdana Menteri sekiranya UMNO dan sekutu mereka mencapai majoriti parlimen dalam agenda baru.

Penting untuk diberikan perhatian bahawa jangkaan berkurangnya jumlah rakyat keluar mengundi akibat COVID-19 dan juga kelesuan politik boleh menjadi satu kelebihan buat UMNO.

UMNO jelas menunjukkan—meskipun tidak diungkapkan—bahawa mereka tidak memerlukan atau mahukan BERSATU sebagai sekutu dalam pilihan raya. Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat percanggahan kepentingan dan perebutan kerusi, bahkan tujuan kewujudan BERSATU pada asalnya adalah untuk menyaingi kerusi-kerusi yang disandang UMNO.

Rumah tangga UMNO dan BERSATU yang diterajui Muhyiddin sememangnya bermasalah dan bakal meledak di luar kawalan. Ditambah pula dengan kepimpinan minoriti Muhyiddin dan pelan agungnya yang tidak menguntungkan UMNO, api kemarahan dan dendam pemimpin-pemimpin UMNO kini semakin marak.

Hal ini diburukkan lagi dengan keengganan Muhyiddin untuk memadam kes perbicaraan jenayah Zahid dan Najib dengan segera. Semua ini bukan kerana Muhyiddin menyokong dan menjunjung tinggi prinsip keadilan, sebaliknya digunakan untuk menambat leher mereka.

Muhyiddin juga turut tak menang tangan dengan pelbagai krisis dengan ahli parlimen dan barisan Menteri yang secara halus berkomplot untuk menyingkirkan Muhyiddin daripada kerusinya.

Kita juga dapat melihat penzahiran rasa bersalah dan marah dalam kalangan ahli parlimen BERSATU yang tersepit antara ‘mengikut arahan parti’ atau berpegang kepada prinsip asas BERSATU yang bertujuan menamatkan Riwayat UMNO dan memastikan Najib dan Zahid dihukum atas kesalahan-kesalahan jenayah mereka. Usah terkejut sekiranya sebahagian besar ahli parlimen Muhyiddin kembali menyokong Tun Mahathir seperti Shahruddin Salleh.

UMNO tidak akan ragu-ragu untuk menggadaikan segala-galanya hanya untuk kembali meraih kuasa mutlak dan mengenepikan BERSATU. Tambahan pula, dalam keadaan yang tidak terkawal ini, kemungkinan besar Muhyiddin akan menyerang Najib dan Zahid dengan segala bahan bukti sedia ada melalui jalan undang-undang.

Kedua-dua UMNO dan BERSATU blok Muhyiddin sedang bersiap sedia untuk pertarungan besar yang bakal menentukan hidup-mati mereka. Ahli parlimen UMNO juga dijangka menarik sokongan mereka bagi mencetuskan pilihan raya mengejut.

Semua ini berlaku saat Malaysia dan rakyat Malaysia sedang menunggu masa dilanda taufan ekonomi yang paling ganas dalam sejarah negara kita akibat COVID-19.

Howard Lee
Ketua DAPSY Kebangsan
Ahli Dewan Undangan Negeri Perak- Pasir Pinji

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *